Polis Keningau nasihat pengguna waspada di empat kawasan sering berlaku kemalangan

Gambar Ihsan Polis Daerah Keningau

KENINGAU, 31 Mei – Polis Keningau menasihati pengguna supaya berhati-hati di empat kawasan hitam dikenal pasti sering berlaku kemalangan ketika pulang menyambut Aidilfitri di daerah berkenaan, kata Ketua Polisnya, DSP Shahrudin Mat Husain.

Empat lokasi sangat merbahaya untuk pengguna jalan raya itu ialah di sepanjang lapan kilometer di Jalan Tambunan-Keningau; Jalan Keningau-Sook (sepanjang 14 kilometer) dan di kilometer empat hingga 10 Jalan Keningau-Kimanis.

“Saya meminta kepada semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika melalui lokasi itu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Op Selamat Hari Raya serta program memasak dan pengagihan bubur lambuk anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dengan kerjasama Jabatan Penerangan Keningau, di sini.

Op Selamat di Keningau bermula Rabu lepas dan berakhir pada 12 Jun ini.

Shahrudin berkata setiap pemandu perlu menerapkan pemanduan berhemah ketika pulang bercuti kerana ia sangat penting dalam memastikan keselamatan mereka sepanjang perjalanan selain tidak memandu ketika di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata statistik kemalangan direkodkan pada Op Selamat sepanjang Hari Raya pada tahun lepas menunjukkan 27 kes melibatkan satu kes kemalangan maut.

Dalam pada itu, Shahrudin berkata, 333 kes kemalangan direkodkan di daerah itu sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, iaitu menurun 11 kes berbanding 344 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Penurunan kes itu sekali gus menunjukkan ada kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *