Pesta Kaamatan pupuk semangat perpaduan, kekeluargaan

MOHD Shafie Apdal ketika hadir di Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang. – Foto Malai Rosmah Tuah

PENAMPANG: Perbezaan dan kepelbagaian budaya bukan penghalang untuk meningkatkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dengan memahami adat budaya setiap masyarakat di negeri ini, ia tentunya membantu rakyat untuk saling bertoleransi.

“Perlu difahami bahawa kepelbagaian itu kekayaan yang perlu dijaga dengan baik kerana ia dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah. Maka, kekayaan budaya perlu dijaga dan dipulihara dengan baik untuk memupuk perpaduan rakyat.

“Penyatuan adalah resepi penting untuk memaju dan membangunkan Sabah. Oleh itu, jangan terlalu bersikap perkauman dan ekstrim dalam agama, kerana jika ini ada (perkauman dan ekstrem), perpaduan tidak akan tercapai.

“Kita bersyukur kerana berkesempatan meraikan Tadau Kaamatan (Pesta Kaamatan) dengan penuh meriah oleh semua rakyat pelbagai kaum,” katanya ketika merasmikan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dan dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.

Pesta Kaamatan diraikan selama sebulan sejak 1 Mei lalu, dengan kemuncaknya diraikan selama dua hari bermula semalam di Hongkod Koisaan, KDCA, di sini.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Impowon Piunungan Koubasanan Tinaru’ dalam Bahasa Kadazandusun yang bermaksud Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, pemikiran dan tindakan yang tepat cukup penting untuk membangunkan sumber kekayaan yang ada di negeri ini.

“Kita ada sumber, cuma yang penting kita juga perlu mempunyai pemikiran dan tindakan yang tepat untuk membangunkan negeri ini.

“Ini penting untuk pembangunan sektor perindustrian di negeri ini yang akhirnya akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak agar tidak perlu merantau untuk mencari peluang pekerjaan.

“Bukan itu saja, malah kita juga perlu bersatu dan ada persefahaman untuk menjayakan semua itu agar Sabah boleh maju seperti Jepun dan Korea,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *