Pemandu Grab dibunuh, mayat dibuang dalam semak

ANGGOTA polis membuat siasatan di lokasi mayat lelaki ditemui, di pantai Kampung Shahbandar, Tuaran. – Foto Ihsan Pembaca

KOTA KINABALU: Pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing, Grab yang dilaporkan hilang Jumaat lalu, dipercayai disamun dan dibunuh sebelum mayat mangsa dibuang di kawasan semak dekat pantai Kampung Shahbandar, Tuaran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammmah, berkata hasil siasatan polis dan kerjasama syarikat Grab, polis berjaya mengesan dua penumpang terakhir yang menggunakan khidmat Grab dipandu mangsa.

“Susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan dua lelaki di kawasan parkir 1 Borneo, di sini, pada jam 9.50 malam tadi.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Shahbandar, Tuaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, hari ini.

Sejak kelmarin, tular di media sosial mengenai seorang pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar, 27, dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga dan rakannya sejak Jumaat lalu.

Pada jam 12.30 tengah malam Ahad lalu, kereta dipercayai milik Mohd Hanafiee ditemui di kawasan tapak bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar dan pemeriksaan mendapati ada kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.

Malam tadi, beberapa status dimuat naik di Facebook dan Tweet dipercayai dibuat ahli keluarga Mohd Hanafiee memaklumkan mayat ditemui di Kampung Shahbandar, adalah keluarga mereka yang dilaporkan hilang Jumaat lalu.

Omar berkata, siasatan mendapati mangsa membawa kedua-dua suspek kira-kira jam 4 pagi Jumaat lalu, dari Kingfisher ke Tuaran.

“Siasatan juga mendapati sejumlah wang milik mangsa hilang, manakala barang lain masih dalam siasatan.

“Kedua-dua suspek berusia 20 tahun dan seorang daripadanya adalah warga asing. Kedua-dua suspek juga tidak bekerja,” katanya.

Beliau berkata, polis akan memohon reman hari ini ke atas kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuhnya yang mula membengkak dan kita percaya kejadian berlaku pada 24 Mei lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya masih menjalankan pengecaman ke atas mayat mangsa bagi memastikan mangsa adalah pemandu Grab dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

“Ahli keluarga pemandu Grab sudah dipanggil, tetapi mereka gagal membuat pengecaman itu pemandu Grab terbabit kerana keadaan mayat mulai reput.

“Jadi, kita akan menggunakan kaedah lain menggunakan cap jari dan DNA untuk mengenal pasti sama ada mayat itu pemandu Grab terbabit.

“Bagaimanapun berdasarkan pengakuan, kedua-dua suspek melakukan samun ke atas pemandu Grab sebelum membunuh mangsa,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *