Empat remaja Geng Bei-Bei tumpas di tangan polis

Omar (kanan) bersama Mohd Haris menunjukkan gambar suspek yang diburu polis selepas terbabit dalam kes samun kedai 24 jam, di Penampang.

KOTA KINABALU: Empat remaja lelaki yang dikenali sebagai Geng Bei-Bei berjaya ditahan dalam beberapa siri tangkapan selepas menyamun kedai serbaneka di daerah ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kesemua suspek berumur 15 hingga 18 tahun berjaya ditahan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 23 Mei lalu.

RAKAMAN suspek semasa menjalankan kegiatan samun di kedai serbaneka pada 23 Mei lalu.

“Rakaman terbabit menunjukkan kumpulan suspek menghampiri meja juruwang sebelum salah seorang daripada mereka merampas telefon bimbit pekerja.

“Suspek juga dilihat mengacukan pisau kepada pekerja berkenaan sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit serta lima kotak rokok,” katanya.

Foto Ihsan Polis Sabah

Beliau berkata beberapa jam selepas kejadian polis berjaya menahan seorang remaja berumur 15 tahun pada hari sama.

“Polis turut membuat hebahan berkenaan kejadian melalui laman rasmi Facebook IPD Penampang sebelum mendapat respon lebih 4,000 pengguna media sosial terbabit.

“Hasil maklumat awam serta risikan, dua lagi suspek berjaya ditahan pada 26 Mei manakala suspek keempat ditahan selepas ibunya menyerahkan anaknya itu di IPD Penampang,” katanya.

Beliau berkata ia adalah jenayah kali pertama yang dilakukan kesemua suspek warga tempatan terbabit dan tiada kesalahan jenayah lampau yang direkodkan sebelum ini.

Pihaknya juga bersyukur kerana dengan tertangkapnya suspek polis dapat menyekat dan menghalang mereka menjadi kumpulan penjenayah yang lebih ganas dan berbahaya.

“Polis bagaimanapun sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dipercayai melarikan diri selepas menyedari diburu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di IPK Sabah, di sini hari ini. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *