RM10.8 juta untuk Hospital Duchess of Kent – Lim Guan Eng

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng beramah mesra dengan orang ramai pada program Tinjauan Mesra di Pasar Elopura, Sandakan, hari ini. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana RM10.8 juta untuk membeli alat perubatan dan pembinaan bangunan tambahan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM7.4 juta untuk menggantikan alat perubatan dan kelengkapan hospital yang rosak serta pembelian peralatan hospital.

“Kos pembangunan pula sebanyak RM3.4 juta. Ini untuk pembinaan bangunan rekod perubatan dan klinik telinga-hidung-tekak (ENT) yang baharu.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM6 juta peruntukan daripada Kementerian Kewangan, manakala RM4.8 juta daripada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas program Tinjauan Mesra di Pasar Elopura, di sini hari ini.

Guan Eng berkata, pembelian alat perubatan itu yang diperlukan hospital iaitu pembelian mesin imbas MRI (Magnetic Resonance Imaging) yang akan siap pada tahun depan bernilai RM3 juta.

“Selain itu, ia juga untuk pembelian sebuah mesin ultrasound mudah alih bernilai RM300,000 dan dua buah set kraniotomi bernilai RM500,000 serta memperbaiki kemudahan hospital,” katanya.

Mengenai pembinaan parkir kereta yang baharu, beliau berkata, projek itu akan dilakukan secara penswastaan oleh Kementerian Kesihatan.

“Tapak tanah sedang dikenal pasti dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama pemimpin di sini.

“Kelulusan peruntukan ini diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup lebih 400,000 penduduk di Sandakan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *