Berita sedih buat Malaysia, Tam sudah tiada…

TAM. FOTO Arkib NSTP/Roy Goh

BADAK sumbu Sumatera jantan terakhir di negara ini yang dinamakan Tam, mati hari ini.

Tam, mati tengah hari tadi di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, beliau dimaklumkan mengenai berita sedih itu oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

“Dengan rasa dukacitanya, Tam mati tengah hari tadi… kita sudah melakukan apa yang perlu. Pada minggu terakhirnya (Tam), ia membabitkan penjagaan paliatif yang sebaiknya oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) di bawah kendalian Dr Zainal Zahari Zainuddin, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

“Punca kematian akan dimaklumkan kemudian selepas autopsi (bedah siasat) dilakukan,” katanya menerusi kenyataannya di Kota Kinabalu, hari ini.

Christina berkata, kematian Tam juga berkaitan dengan faktor usia selain organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik.

Pada minggu lalu, Tam yang dianggarkan berusia lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.

Tam ditangkap di ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu, pada Ogos 2008,

Ketika ditangkap, Tam dianggarkan berumur pertengahan 20-an, bermakna kini ia sudah memasuki umur tua bagi seekor badak sumbu Sumatera.

Sejak 2011, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatera daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini termasuk secara ‘in vitro’ dan kerjasama dengan Indonesia.

Usaha untuk mencari pasangan kepada Tam juga lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim dan apabila Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

Puntung kemudian dimatikan pada tahun 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialaminya, meninggalkan hanya Iman satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *