Projek Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta dilaksana tahun ini

GUAN Eng bersama Frankie dan Vivian melihat pelan pembangunan projek Lapangan Terbang Sandakan.

SANDAKAN: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta akan dilaksanakan dalam tahun ini.

“Projek ini melibatkan pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang terbabit,” katanya.

GUAN Eng bersama Frankie dan Vivian semasa sidang media pelan pembangunan projek Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau mahu kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan itu melaksanakan mengikut piawaian serta ikut jadual.

“Kita akan pastikan pelaksanakan projek ini dimulakan dari tarikh mula dan siap sepenuh pada tarikh yang dijadualkan,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata sebanyak 49 projek pembangunan dengan kos RM2.3 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan di daerah ini.

Katanya projek-projek itu termasuk di Libaran dan Batu Sapi yang mana akan dipantau oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.

“Semua projek pembangunan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan ini adalah memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Sandakan,” katanya.

Guan Eng menjelaskan sekiranya ada permintaan lain mengenai projek pembangunan di Sandakan, beliau akui Kerajaan Persekutuan kena ikut kemampuan dan melihat jumlah peruntukan yang ada.

“Apabila kita hendak melakukan sesuatu, kita kenalah mengukur baju di badan sendiri dan mengikut kemampuan kita,” katanya.

Beliau berkata sekiranya tidak mampu melaksanakan projek itu, pihaknya memutuskan tidak perlu laksanakan.

“Banyak projek untuk rakyat dan kita akan cuba buat penjimatan. Kalau projek ini ada penjimatan, jumlah selebihnya akan disimpan untuk rakyat.

“Saya memberi contoh seperti projek di Sabah yang mana sekiranya projek itu dapat dijimatkan kepada RM500 juta, duit lebih projek itu akan dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Sabah bukannya disimpan di Putrajaya atau Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam di Sandakan Yacht Club dihadiri lebih 300 pemimpin DAP pada malam Ahad.

Pada majlis itu juga, Guan Eng berkata kombinasi perpaduan dan bersatu hati pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri Sabah merupakan formula kejayaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan perolehi kemenangan besar DAP di Parlimen Sandakan.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata kejayaan memperolehi majoriti 11,521 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan adalah lakaran sejarah DAP di sini.

“Kemenangan ini bukan kemenangan DAP sendiri tetapi kemenangan bersama rakan-rakan PH dan Parti Warisan Sabah.

“Kemenangan ini juga adalah kejayaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berkempen dari rumah ke rumah serta sentuhan pada rakyat. Kita amat berterima kasih dengan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Hadir pada majlis itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *