Geng Curi Kenderaan Guna Gajet Tumpas, Empat Suspek Ditahan; Polis Buru Tommy

Omar Mammah menunjukkan komputer yang digunakan suspek untuk mencuri kenderaan.

OKOTA KINABALU: Sebuah kumpulan penjenayah didalangi lima suspek yang dipercayai aktif mencuri kenderaan termasuk di Semenanjung dan baru ‘membuka cawangan’ di Sabah tumpas selepas empat daripada mereka ditahan polis di sekitar bandar raya ini.

Kumpulan tersebut yang mensasarkan kenderaan mewah pacuan empat roda serta kenderaan utiliti sukan (SUV) mempunyai peralatan lengkap termasuk komputer canggih bagi membolehkan mereka mencuri kenderaan dalam tempoh tidak sampai lima minit.

Sebahagian peralatan termasuk komputer canggih yang digunakan suspek untuk mencuri kenderaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kegiatan suspek itu bagaimanapun dikesan selepas polis menerima aduan daripada seorang wanita yang kehilangan kereta jenis Honda HRV miliknya yang diletakkan di kawasan parkir Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas pada 14 Mei lalu.

“Suspek telah membuat laporan dan menyerahkan gambar kenderaannya kepada polis, berikutan itu sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah melakukan rondaan di sekitar bandar raya ini.

“Pada 19 Mei, anggota peronda berjaya mengesan kenderaan berkenaan di sebuah kawasan parkir dan telah menunggu sehingga seorang suspek lelaki berasal dari negeri ini muncul lalu menahannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

LELAKI DIKEHENDAKI POLIS

Turut hadir, Ketua Polis IPD KK, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Omar berkata, hasil siasatan, suspek mengaku mula beroperasi di negeri ini pada awal Mei lalu bersama empat lagi rakan jenayahnya dan tiga daripada mereka yang berasal dari Semenanjung berjaya diberkas dalam beberapa serbuan berakhir Jumaat lalu di sekitar Kota Kinabalu.

Jelasnya, tiga suspek berkenaan mempunyai 29 rekod jenayah lampau antara mereka manakala suspek pertama tidak memiliki kesalahan sebelum ini.

Katanya, seorang lagi suspek berasal dari Sarawak dan dikenali dengan nama Tommy kini masih diburu polis.

Pelbagai peralatan mencuri kenderaan serta beberapa telefon bimbit milik suspek dirampas.

Menurut Omar, polis berjaya menemukan pelbagai peralatan yang digunakan mencuri kenderaan dalam simpanan kesemua suspek termasuk sebuah komputer canggih yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM8,000 manakala kesemua peralatan tersebut dijangka mencecah nilai RM100,000.

“Polis telah meminta suspek menunjukkan cara-cara mereka mencuri kenderaan dan didapati dengan menggunakan peralatan berkenaan, sebuah kenderaan boleh dicuri tidak sampai lima minit.

“Modus operandi suspek adalah mensasarkan kenderaan yang diparkir di kawasan pasar raya, atau kawasan awam,” jelasnya.

Katanya, suspek mengaku telah mencuri sebanyak 11 kenderaan yang berharga lebih RM1 juta dan lima daripadanya telah pun ditemukan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *