Tinggi sangat ni

KETINGGIAN seorang pemuda yang mencecah 220 sentimeter menyebabkan tukang jahit terpaksa menggunakan tangga bagi mengambil ukuran badannya untuk tempahan baju raya.

Keadaan itu berlaku ketika Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, dijemput hadir ke kediaman Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim di Bandar Utama di sini, untuk tempahan baju raya, semalam.

Pemuda itu yang pernah menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai lelaki tertinggi negara ini dan berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3 mengakui bukan hanya ketika untuk menempah baju raya tetapi masalah seperti itu turut dihadapinya ketika membuat tempahan bagi baju biasa.

“Setiap tahun, saya terpaksa menjahit pakaian kerana tiada saiz ketinggian saya dijual di kedai dan situasi ini bukan perkara baharu buat saya.

“Ketinggian yang dimiliki juga menyebabkan kos jahitan mahal dan membebankan saya.

“Alhamdulillah…pada Aidilfitri tahun ini, ada pihak yang prihatin dengan menyumbangkan baju raya percuma kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata, pemuda tertinggi itu antara 200 anak keluarga asnaf dan anak yatim yang bakal menerima bantuan baju raya daripada pihaknya.

Menurutnya, semua mereka yang tersenarai menerima bantuan baju raya itu mengukur saiz masing-masing sebelum pengagihan dilakukan pada 1 Jun depan.

“Mohd Azli Hisyam yang mempunyai ketinggian luar biasa memaksa tukang jahit membuat ukuran saiz menggunakan tangga.

“Kita akui memang saiz pakaian untuk Mohd Azli Hisyam sukar diperoleh di pasaran dan terpaksa kita buat tempahan khas untuknya,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *