KOTA KINABALU: Seorang pekerja kontraktor yang sedang mencuci cermin bangunan maut selepas terjatuh dari tingkat satu sebuah pasaraya, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun berasal dari Miri, Sarawak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata polis menerima maklumat daripada seorang pengawal keselamatan berhubung kejadian itu.
“Pengawal keselamatan memaklumkan ada seorang lelaki iaitu pekerja kontraktor pembersihan bangunan terjatuh dari tingkat satu bangunan.
“Mangsa dipercayai jatuh diketinggian sembilan meter ketika sedang bekerja mencuci cermin di bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Habibi berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik QEH1 untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut bagaimanapun siasatan masih dijalankan,” katanya. – Berita Harian