Lelaki disyaki tangkap ikan tanpa permit ditahan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan juragan bot bersama muatan ikan dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Labuan. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki disyaki menangkap ikan tanpa permit, dan merampas sebuah bot bersama muatannya membabitkan keseluruhan nilai berjumlah RM9,535, dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Labuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 petang, juragan bot berusia 31 tahun itu gagal menunjukkan sebarang permit menangkap ikan, manakala lesen bot pula didapati tamat tempoh.

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan juragan bot bersama muatan ikan dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Labuan. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pihaknya turut menemui sebuah tong berisi pelbagai jenis ikan di dalam bot itu dipercayai hasil tangkapan juragan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat 30 kilogram (kg) di dalam bot berkenaan.

“Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan menyalahi Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 kerana lesen bot tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan juragan bot bersama muatan ikan dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Labuan. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Mohamad Pajeri berkata, bot bersama muatan yang dirampas kemudian dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes dirujuk kepada Jabatan Perikanan Labuan serta Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan, PPM Wilayah 4 Sabah menjalankan operasi sepanjang masa dan menjalinkan kerjasama dengan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berhubung pelanggaran peraturan di perairan negara. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *