Musa Aman minta bicara untuk 51 pertuduhan

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, hadir ke mahkamah bagi pengurusan kes 51 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak konsesi balak berjumlah AS63.3 juta (RM263 juta) di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah atas 51 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram selepas semua pertuduhan dibacakan semula untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Musa, 68, yang duduk di dalam kandang tertuduh hanya menyebut “faham” dan “minta bicara” sejurus jurubahasa selesai membaca satu persatu pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Collin menetapkan perbicaraan kes selama 22 hari bermula Jun tahun depan.

Tarikh yang ditetapkan adalah 8 hingga 11 Jun; 15 hingga 18 Jun; 22 hingga 25 Jun; 6 hingga 7 Julai; 13 hingga 16 dan 20 hingga 23 Julai 2020.

Pada November 2018, Musa berdepan 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, yang berjumlah AS$63.3 juta.

Individu terbabit ialah Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Syarikat berkenaan ialah Bountiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn dan JV Lestari Sdn Bhd, Tamabina Sdn Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn Bhd, LR Enterprise Sdn Bhd, Lembah Mayang Sdn Bhd dan Fast Progress Sdn Bhd, Maju Sinar Network Sdn Bhd, Syarikat Eden Region Sdn Bhd, Gasing Selatan Sdn Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn Bhd dan Eramewa Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura di antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Lapan bank dan institusi kewangan itu adalah HSBC Bank Ocean Tower dan Claymore Plaza, Credit Suisse, Raffles Place, Fortis Private Banking, UBS AG Bank, Raffles Place di Singapura.

Citi Bank Kowloon, JP Morgan Chase Manhattan Bank dan UBS AG Bank, Central di Hong Kong, China.

Semua tuduhan terhadap Musa adalah mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pada Mac lalu, Musa sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan SGD$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan dari hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes di mana jumlah itu adalah dari hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima SDG$2.5 juta atas sebab yang sama.

Individu dan syarikat terbabit ialah Chia Tien Foh, Young Generation Corp, Lo Man Heng, Mazlan Zakaria, Axon Group Ltd, Well Capital Finance Limited, Innovative Information Ltd dan Portland Trading Pte Ltd. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *