Borang palsu JPN tertera lambang WARISAN disyaki didalangi sindiket

BORANG JPN berlambang WARISAN dipercayai dijual sindiket kepada pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah untuk mengaut keuntungan. – Foto IHSAN Parti Warisan.

KOTA KINABALU: Pengeluaran borang palsu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertera lambang Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang didakwa membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memohon dokumen pengenalan diri, disyaki didalangi sindiket untuk mengaut keuntungan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata sindiket terbabit dipercayai mengambil kesempatan terhadap warga asing yang sanggup membeli borang itu kerana terdesak tanpa mengetahui mereka ditipu.

BORANG JPN berlambang WARISAN dipercayai dijual sindiket kepada pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah untuk mengaut keuntungan. – Foto IHSAN Parti Warisan.

“Saya mengesahkan bahawa tiada program pendaftaran PATI dilakukan kementerian melalui agensinya sama ada Jabatan Imigresen atau JPN.

“Pihak JPN juga mengesahkan bahawa borang disebarkan itu tidak pernah dikeluarkan langsung. Malah, ia terbukti palsu apabila masih menggunakan logo lama JPN yang sudah tidak dipakai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan mengenai penyebaran borang permohonan dokumen pengenalan diri JPN yang memaparkan lambang WARISAN dan dipercayai dijual kepada PATI.

Mohd Azis yang juga Ketua Wira WARISAN, sekali gus menafikan pembabitan parti itu dalam mengeluarkan sebarang borang kepada PATI untuk memohon dokumen tertentu daripada kerajaan.

Katanya, WARISAN tidak pernah terbabit mengeluarkan dokumen kerajaan, lebih-lebih lagi yang tertera logo parti seperti yang dilapor disebarkan kepada orang ramai, baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, WARISAN akan membuat laporan polis berkaitan perbuatan sindiket terbabit yang mencemar nama parti dan cuba mengaut keuntungan, selain memburuk-burukkan kepemimpinan WARISAN.

“Saya menasihati orang ramai yang ada maklumat penjualan borang palsu itu di mana saja di Sabah, untuk menyalurkan maklumat kepada polis supaya dalang sindiket ini dapat ditangkap dan dihukum,” katanya.

Beliau berkata, WARISAN berpegang teguh kepada prinsip undang-undang negara dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kewujudan PATI di Sabah mengikut lunas undang-undang.

Katanya, WARISAN juga mendesak parti pembangkang supaya menghentikan tuduhan politik kononnya WARISAN memberi dokumen pengenalan diri kepada PATI kerana tuduhan sedemikian yang disebarkan melalui media sosial boleh menyebabkan wujudnya sindiket mengambil kesempatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung WARISAN, Loretto S Padua, turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan WARISAN dalam isu berkenaan.

“Saya selaku Setiausaha Agung menafikan pembabitan WARISAN dalam apa-apa pengurusan membabitkan JPN kerana bukan menjadi tugas kami untuk berurusan dengan mereka,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *