Selepas cabar Kit Siang, Najib ajak Dr M pula berdebat

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mengajak bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad berdebat selepas mencabar pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang berbuat demikian hari ini.

Najib berkata jika Mahathir mahu berdebat dengannya, beliau akan menyahut cabaran itu.

“Saya faham juga tugas seorang PM adalah sibuk tapi jika PM ke-7 berpendapat dia ada masa atau ada keperluan untuk debat dengan saya tentu akan sahut cabaran itu,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Hari ini, Najib dalam temu bual dengan FMT, berkata beliau sedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan Lim selepas veteran DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.

“Saya bersedia untuk berdebat dengannya mengenai isu tertentu supaya kita boleh ketengahkan pendirian kita dalam isu-isu tertentu supaya rakyat boleh menilai,” katanya yang turut menggelarkan Lim sebagai “Menteri Hal Ehwal Najib”.

Cabaran itu dibuat selepas Lim mendakwa frasa Najib, “Malu Apa Bossku” melanggar Rukun Negara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.

Menjawab pertanyaan penyokong PH mengapa beliau tidak berdebat dengan Mahathir semasa berkuasa dulu, katanya, beliau tidak mempunyai masa untuk berdebat ketika bergelar perdana menteri.

“Masa itu, saya PM dan tak banyak masa untuk debat.

“Masa itu juga, PM ke-4 masih ahli Umno.

“Adalah janggal untuk pemimpin Umno berdebat dengan pemimpin Umno pada masa itu,” katanya.

Najib juga menjawab persoalan pengguna media sosial yang mempertikaikan pelawaan debatnya, di mana Najib pernah menolak debat dengan mengatakan debat bukan budaya negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata beliau tidak menolak debat secara menyeluruh tetapi perlu melihat keadaan.

“Sekarang, rakyat tak dapat lagi maklumat yang betul lagi kerana kita tahu kerajaan PH teramat kuat menipu.

“Saya tidak membuat U-turn tentang debat dan saya tidak fitnah seperti PH,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *