Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di Sabah semakin tenat

TAM menerima rawatan perubatan dan perhatian 24 jam. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di Sabah yang dinamakan Tam kini berdepan masalah kesihatan serius.

Badak Sumatra itu yang kini dianggarkan berumur lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata Tam kini menerima rawatan perubatan dan perhatian 24 jam.

“Ketika ditangkap, Tam dianggarkan berumur pertengahan 20-an, bermakna kini ia sudah memasuki umur tua bagi seekor badak sumbu Sumatra.

“Sekarang, kebimbangan utama kita ialah keadaan kesihatannya. Selera makan dan tindak balasnya merosot mendadak sejak April lalu.

“Ujian terhadapnya masih diteruskan tetapi kelihatannya satu atau lebih organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan mengenai keadaan semasa badak sumbu Sumatra itu, di sini, hari ini.

Tam ditangkap di ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu pada Ogos 2008.

Hidupan liar yang diancam kepupusan itu kemudian dibawa ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu yang menjadi habitatnya sehingga sekarang.

Christina berkata, Tam sangat disukai penjaga dan pelawat kerana jinak.

“Usaha untuk mencari pasangannya lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim dan apabila Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

“Penyakit dihidapi hidupan liar itu adalah kesan daripada terlalu sedikit badak dan kegagalan pembiakan ketika akhir dekad abad ke-21,” katanya.

Puntung kemudian dimatikan pada tahun 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialaminya, meninggalkan hanya Iman satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup.

Christina berkata, sejak tahun 2011, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini termasuk secara in vitro dan kerjasama dengan Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, hingga kini tiada yang berjaya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *