Tambunan miliki aset pelancongan bernilai tinggi – Peter

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony

TAMBUNAN, 18 Mei – Daerah Tambunan memiliki aset pelancongan yang bernilai tinggi di negeri Sabah kerana adanya sumber alam semula jadi yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan, yang boleh menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata hutan belantara yang masih dijaga, sumber air yang bersih, cuaca sejuk yang mendinginkan serta jauh dari hiruk-pikuk pembangunan bandar menjadikan daerah itu sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

“Melihat kepada sumber yang tersedia, daerah itu tidak memerlukan bangunan pencakar langit tetapi cukup dengan membangunkan atau mengetengahkan kekayaan dan keindahan alam semula jadi dan sumber sedia ada yang tidak terdapat di mana-mana daerah lain di negeri Sabah.

Rakyat di daerah ini sangat beruntung kerana memiliki khazanah pelancongan yang bernilai tinggi yang tidak terdapat di tempat yang lain,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tambunan di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh pembantunya Datuk Abdul Muis Pico.

Peter berkata Tambunan juga terkenal dengan sektor pertaniannya yang tersendiri dan sektor ini juga mampu dijadikan tarikan pelancongan tani ataupun “agropelancongan” yang semakin menjadi trend pada masa kini khususnya kepada pengusaha-pengusaha pelancongan di seluruh negeri ini.

“Saya sangat menyokong usaha membangunkan agropelancongan kerana sektor ini terbukti mampu memberi pendapatan yang lumayan bukan sahaja kepada pengusaha pelancongan tetapi juga kepada masyarakat kampung” katanya.

Peter yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap berkata pelbagai agensi kerajaan terutamanya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri atau pun Lembaga Pelancongan tentunya siap sedia memberi bantuan dari segi pelbagai sudut sekiranya diperlukan dari segi nasihat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan, Daerah Tambunan telah mengambil langkah awal dalam membangunkan sektor pelancongan di daerah itu melalui penganjuran Tahun Melawat Tambunan 2017 yang mana pada tahun tersebut pelbagai aktiviti dan program melibatkan kebudayaan, adat tradisi, sukan dan sebagainya telah diadakan dan telah menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara ke daerah ini.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *