15 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Putatan

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan 15 rumah, di Kampung Tembovo. FOTO Khairull Azry Bidin

Dugaan Ramadan

“WANG tunai untuk kecemasan lebih RM1,000 dan pakaian untuk Hari Raya anak tidak sempat diselamatkan,” kata Bison Almin, 52, seorang penghuni daripada 15 rumah yang terbakar di Kampung Tembovo, Putatan, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, kira-kira 15 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang meranapkan kediaman mereka.

Menurut Bison, ketika kejadian dia sedang memasang enjin bot, tiba-tiba ternampak api marak dari rumah jiran yang terletak di bahagian tengah kawasan penempatan mereka.

“Saya tidak sempat selamatkan barang rumah dan segera menyelamatkan 15 anak yang berada di rumah ketika itu.

“Anak yang paling kecil berusia tiga tahun saya dukung dan bawa mereka keluar dari rumah kerana api merebak dengan pantas,” katanya ketika dihubungi.

Bison berkata, ketika itu dia hanya sempat membawa satu beg pakaian saja dan selebihnya tidak dapat diselamatkan.

“Pakaian dan peralatan sekolah anak juga tidak sempat diselamatkan.

“Persiapan lain untuk Hari Raya kami belum beli lagi, cuma pakaian anak saja yang sudah dibeli tetapi tidak sempat diselamatkan,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pegawai Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.59 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang di kerah ke lokasi.

Menurutnya, empat jentera bersama 18 anggota dikerah ke lokasi dengan bantuan daripada BBP Kota Kinabalu untuk membantu memadam kebakaran.

“Jarak rumah yang dibina terlalu rapat menyebabkan kebakaran merebak pantas dan memusnahkan banyak rumah.

“Bagaimanapun pasukan bomba berusaha memadam kebakaran dan berjaya menyelamatkan lima rumah lain di kawasan itu,” katanya.

Katanya, kebakaran dikawal pada 4.40 petang dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *