Kerajaan negeri Sabah peruntuk RM500,000 untuk tagal Hutan Komuniti Kg Kiau

Foto Ewon Benedick

KOTA BELUD, 18 Mei – Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan geran sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semulajadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO) bagi melestarikan tagal hutan komuniti dan pembangunan pelancongan di kampung itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata geran itu akan digunakan untuk membangunkan kemudahan pelancongan untuk keselesaan pelancong.

“Kawasan seluas 1,200 ekar daripada Taman-Taman Sabah dikeluarkan, dan diserahkan kepada penduduk kampung Kiau kerana itu merupakan tanah adat mereka sejak dahulu.

“Bagi melestarikan kawasan ini, penduduk kampung telah bersetuju menubuhkan pemegang amanah dan seterusnya memperkenalkan tagal hutan komuniti yang dibangunkan sebagai pusat ekopelancongan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Budaya Kiau Nuluh, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu berharap lebih banyak kampung luar bandar di Sabah menggunakan pendekatan tagal hutan komuniti, sebagai salah satu bentuk urus tadbir tanah adat seperti tagal sungai yang boleh dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancong.

Beliau berkata aspirasinya adalah membangunkan kawasan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor utama, iaitu pelancongan dan pertanian, yang disokong dengan jaringan kemudahan asas yang baik dan aktiviti-aktiviti keusahawanan desa.

Katanya dengan kajian itu akan dapat mencakupi aspirasi keseluruhan komuniti di Kadamaian dan memudahkan pelaksanaan pembangunan melibatkan kerajaan dan pelbagai rakan strategik lain.

“Saya akan terus berusaha dan bekerja mencapai lebih banyak kemajuan untuk kawasan Kadamaian termasuk pelaksanaan Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang dilaksanakan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian, Pejabat UPPM Kadamaian dan Pejabat Daerah Kota Belud.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *