Nasi linopot, makanan tradisi kaum Dusun jadi juadah berbuka puasa digemari di Keningau

FOTO BERNAMA

Oleh Mohd Khairy Abdullah

KENINGAU, 16 Mei – Linopot ialah istilah bagi nasi yang digaul dengan ubi manis yang dibungkus dengan daun pokok wangian atau Longkobung menjadi juadah berbuka puasa pilihan yang dijual di bazar Ramadan di daerah ini.

Seorang gadis Dusun, Maisarah Mairhuddin, 21, menjadikan makanan tradisional itu sebagai juadah berbuka puasa istimewa dijualnya di Bazar Ramadan KD Damai Pasir Putih Keningau.

“Linopot menjadi pilihan utama juadah berbuka puasa di sini (Keningau) kerana keenakannya selain mampu dibeli oleh sesiapa pun,” katanya kepada Bernama di sini.

Nasi Linopot merupakan makanan tradisi suku kaum Dusun yang sangat unik kerana ia diperbuat daripada beras padi huma yang hanya diamalkan secara berterusan sejak sekian lamanya di daerah ini.

Nasi Linopot sangat enak dimakan bersama gulai cili  ikan masin juga sangat menyelerakan apabila dimakan bersama petai panggang bilis.

Maisarah berkata beliau terlibat dalam perniagaan nasi linopot sejak tiga tahun lepas dan mampu memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM5,400 dengan sebungkus nasi linopot berserta dua lauk dijual dengan harga RM4.50.

Beliau berkata makanan tradisi kaum Dusun itu bukan sahaja digemari oleh penduduk tempatan tetapi turut diminati oleh masyarakat Tionghoa dan pelancong antarabangsa.

“Mereka (pelancong antarabangsa) singgah di sini (Bazar) membeli dan memakan linopot … mereka memberi reaksi positif mengenai juadah ini,” katanya.

Maisarah yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik berkata beliau mendapat ilham untuk menjadikan linopot sebagai jualan juadah berbuka puasa dalam usaha memartabatkan makanan tradisional kaum Dusun itu agar terus relevan.

“Saya mahu nasi linopot dikenali di pentas dunia, ini cita-cita saya,” kata Maisarah.

Seorang pengunjung bazar itu, Fuad Dalusim memuji inisiatif jualan nasi linopot bagi mempromosikan lagi makanan tradisional kaum Dusun itu.

Katanya beliau sememangnya menggemari nasi linopot yang dijual Maisarah kerana rasa yang sedap dan membolehkan beliau mendapatkan nasi linopot pada harga yang berpatutan.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *