Kebakaran dua mesin ATM di Sadong Jaya berunsur khianat

Dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank yang terbakar teruk di Jalan Sadong Jaya, Ahad lalu, disyaki angkara khianat. – Foto ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank yang terbakar teruk di Jalan Sadong Jaya, di sini, Ahad lalu, disyaki angkara khianat.

Dalam kejadian jam 1.42 pagi itu, dua ATM berkenaan rosak teruk dipercayai dibakar oleh individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan didapati terdapat seorang lelaki menghampiri mesin ATM itu lalu membakar kertas sebelum membuang ke dalam tong sampah.

“Api kemudian merebak hingga menyebabkan dua mesin ATM di dalam bank berkenaan terbakar.

“Polis kini giat menjejaki individu terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan cubaan khianat dengan api.

Dalam kejadian Ahad lalu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran mesin ATM berkenaan.

Operasi memadam kebakaran membabitkan dua jentera dengan kekuatan seramai 23 anggota bomba termasuk pegawai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *