
KOTA KINABALU, 14 Mei – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan projek Kebun Penyelidikan Durian melalui memorandum perjanjian (MoA) universiti-industri dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata melalui MoA itu UMS akan membina pasukan penyelidikan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan durian.

“Projek kebun penyelidikan durian jangka panjang itu merangkumi kajian terhadap penghasilan buah durian, bibit durian, selain memfokuskan terhadap ilmu pengetahuan baharu berkaitan penghasilan bahan tanaman, teknik aruhan dan proses semula jadi dalam pendebungaan,
“Ia juga termasuk kajian berkaitan peranan haiwan dan serangga dalam menambah baik kualiti pokok dan hasil durian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
D Kamarudin berkata projek kebun penyelidikan durian itu turut merangkumi kerjasama dalam Pengeluaran Burung Walit di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Kampus Sandakan.
Beliau berkata permintaan yang tinggi untuk sarang burung itu khususnya dari negara China menyebabkan penduduk Sabah mula beralih kepada industri tersebut apabila harga pasaran mencecah sehingga RM4,300 sekilogram.
“Kita sangat berterima kasih kepada Syarikat Yun Fook Resources, kerana melalui kerjasama ini dua buah rumah burung walit telah dibina di FPL, iaitu sebuah rumah kos rendah RM20,000, dan sebuah lagi gudang walit tiga tingkat dengan kos binaan RM250,000.
Beliau berkata kerjasama itu memberi faedah besar kepada pelajar kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mempelajari industri yang sedang pesat berkembang, sekali gus boleh menceburi bidang ternakan walit sebagai sumber pendapatan tambahan apabila tamat pengajian kelak.
UMS diwakili D Kamarudin dan Syarikat Yun Fook Resources diwakili Pengarahnya Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook.
— BERNAMA