PAPAR: Tiga individu mengalami kecederaan selepas kereta sedan yang dinaiki bertembung dengan lori lima tan di Kampung Tanaki di sini, malam Selasa.
Ketua Operasi Pegawai Bomba (PB) Kamaruddin Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 9.31 malam lalu menggerakkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar ke lokasi.
“Kejadian menyebabkan tiga mangsa tersepit di dalam kereta sedan dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi semasa kejadian.
“Dua mangsa parah termasuk kanak-kanak manakala seorang lagi cedera ringan diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, pihaknya kemudian menamatkan operasi ditamatkan pada jam 10.10 malam. – Utusan Borneo