Ops Pakaian Raya: 27 premis diperiksa di Sabah

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 15 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa 27 premis dalam tempoh tiga hari pelaksanaan ‘Ops Pakaian Raya’ yang dijalankan sejak Isnin lepas.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Sabah V. Ravichandran berkata menerusi pemeriksaan itu sebanyak lima notis dikeluarkan kepada peniaga membabitkan pengesahan maklumat harga sebelum dan semasa.

Katanya operasi itu yang akan dijalankan sehingga 24 Mei depan bagi memantau isu kenaikan harga pakaian bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

“Pihak kementerian memandang serius isu tersebut kerana ia merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pelaksanaan operasi itu membabitkan pemeriksaan di dua gedung pakaian di Alam Mesra di sini, hari ini.

Menurutnya sasaran barangan bagi operasi itu merangkumi baju kurung, baju kebaya, tudung, baju Melayu, songkok, samping dan butang baju Melayu.

Ravichandran berkata jika peniaga yang didapati melakukan kesalahan mencatut, peniaga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

Katanya bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta.

Bagi orang perseorangan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *