9 bulan dah berlalu, mana bantuan ?

Siti Rokaya menunjukkan kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan, yang rosak akibat ribut. Foto Poliana Ronnie Sidomdius

Bagi ibu tunggal, Siti Rokaya Mohd Alip, 55, sambutan Aidilfitri tahun ini mungkin hambar berikutan rumah yang didiami sejak tahun lalu belum dibaiki.

Rumah ibu kepada lima anak itu yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan, Sabah, antara lima kediaman yang rosak teruk apabila sebahagian bumbungnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian Ogos tahun lalu.

Siti Rokaya berkata, tiada pembaikan dilakukan sejak sembilan bulan lalu menyebabkan beliau masih menumpang di rumah anaknya.

Biarpun tidak tinggal di rumah itu mereka masih terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM170 sebulan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) kerana bimbang dikenakan bayaran berganda atau tindakan rumah dikunci.

“Selepas sembilan bulan, bukan saja lantai rumah rosak, dinding bocor terkena air, malah rumah saya turut dimasuki pencuri yang menceroboh menerusi bumbung yang rosak.

“Mahu angkat semua barang berpindah ke rumah anak, ia hanya akan menyebabkan rumah anak semakin sesak. Tahun ini saya merancang menyambut Aidilfitri di rumah sendiri, namun tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Siti Rokaya berkata, selepas penyerahan kunci rumah tahun lalu, beliau cuma sempat mendiami rumah itu selama tiga bulan sebelum kejadian angin kencang yang menyebabkan lima rumah membabitkan dua blok rosak.

“Mujurlah anak ada rumah untuk saya tumpang. Kalau tidak, mungkin terpaksa menyewa di tempat lain. Kami harap pembaikan rumah disegerakan kerana kami masih membayar sewa rumah,” katanya.

Sementara itu, Siti Nurhuda Ibrahim, 52, berkata, mereka sudah berpindah sebanyak tiga kali sejak rumah mereka rosak dengan yang terakhir ditempatkan di lot kedai PPR berkenaan.

Katanya, barangan yang ditinggalkan di rumah termasuk perabot kini rosak kerana sering terdedah hujan dan panas.

“Kami tiada pilihan selain terpaksa bersesak dengan anak, menantu dan cucu untuk sambut Aidilfitri di sini nanti. Pihak berkuasa perlu segerakan pembaikan kerana keadaan ini membebankan kami,” katanya. – Harian Metro