Lebih 1 juta pelancong ke Sabah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini

KOTA KINABALU, 11 Mei – Seramai 1,033,871 pelancong melawat Sabah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata jumlah kemasukan pelancong berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Dengan kemasukan pelancong berkenaan dianggarkan telah menjana hasil sebanyak RM2.23 bilion kepada Sabah,” katanya ketika melancarkan  Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Sabah 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan usaha promosi berterusan oleh kementeriannya dan beberapa inisiatif lain termasuk adanya penerbangan terus dari lokasi tertentu ke Sabah akan memastikan sasaran kedatangan 4 juta pelancong ke sabah tahun ini tercapai.

“Dua hari lepas saya juga telah membuat pengumuman mengenai dua penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari bandar Daegu dan Busan yang dikendalikan oleh Air Busan. Penerbangan terus ini sudah tentu dapat meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Sabah.

Pada masa yang sama, Christina berkata kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah akan terus melakukan promosi pelancongan untuk pantai timur Sabah, bagi memastikan keseimbangan pelancong di seluruh Sabah serta memberikan peluang perniagaan kepada masyarakat di kawasan pantai timur.

“Oleh itu kami akan memperkenalkan ‘Cuti-Cuti Tawau’ untuk memberi penekanan kepada pelancongan di pantai timur Sabah untuk memastikan sasaran empat juta pelancong tempatan dan antarabangsa itu dapat dicapai.

“Pantai timur Sabah terutama bandar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan memiliki banyak tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi selain warisan sejarahnya,” kata beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai pameran berkenaan, beliau mengucapkan tahniah kepada MATTA kerana berjaya menarik penyertaan sebanyak 115 gerai untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan.

“Pameran ini antara acara yang diiktiraf secara meluas serta merupakan acara tahunan utama di Sabah. Saya gembira melihat pameran ini terus menawarkan peluang kepada masyarakat tempatan untuk membeli tawaran terbaik mengenai penerbangan, kadar hotel dan pakej perjalanan.

“Promosi pelancongan luar negara sememangnya akan membantu mempercepat pertumbuhan pelancongan di Sabah kerana melibatkan aliran pelancong dua hala,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *