Ops Cegah: Pasangan Kekasih Antara Ditahan Positif Dadah

Antara suspek ditahan positif dadah. – Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

KENINGAU: Sepasang kekasih antara ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan oleh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau di beberapa buah kampung di sekitar daerah ini dan Tambunan, kelmarin.

Semasa serbuan pasangan kekasih itu didapati baru selesai menggunakan dadah menerusi pemerhatian anggota bertugas yang melihat keadaan ruang bilik dipenuhi dengan peralatan menghisap syabu.

Ketua Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin berkata remaja perempuan berusia 17 tahun itu juga dipercayai tidak pulang ke rumah keluarganya selama tiga hari akibat ketagih dengan dadah bersama pasangannya.

Pasangan kekasih yang berjaya ditahan AADK. – Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

“Ketika penahanan dibuat, kedua suspek bersembunyi di dalam selimut tidak berpakaian manakala suspek lelaki, 22, dikesan sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK Keningau yang gagal hadir mengikuti program rawatan dan pemulihan bagi tempoh tiga tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dibuat, kedua-dua suspek turut positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, operasi yang dijalankan pada semalam telah berjaya menahan seramai 12 suspek termasuk pasangan kekasih terbabit yang berusia di antara 17 hingga 42 tahun kesemua disahkan gagal ujian saringan air kencing dan positif dadah jenis yang sama.

Semua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menurut Azry, operasi yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat awam dan juga hasil risikan yang dibuat oleh pihaknya dalam tempoh seminggu dilokasi yang telah dikenalpasti.

Suspek ditahan juga diperintahkan menjalani tahanan reman selama lapan hari di Pusat Tahanan Reman Papar oleh Mahkamah Keningau bermula hari ini (Jumaat).

Sehubungan itu pihak AADK mengharapkan agar semua anggota masyarakat sentiasa peka berkaitan persekitaran dan kejiranan masing-masing daripada dicemari oleh masalah penagihan dadah yang semakin berleluasa terutama di Keningau dan Tambunan.

Katanya orang awam boleh menyalurkan aduan berkaitan aktiviti penagihan dadah ditalian 087-339886. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *