Angkara cinta tak direstui

LELAKI dipercayai warga Filipina maut selepas menggantung diri di Kampung Sebuak, Padawan Kuching. FOTO Ihsan PembacaGarret [email protected]

HUBUNGAN cinta yang tidak direstui dipercayai menjadi punca lelaki warga Filipina menggantung diri di kandang kambing Kampung Sebuak di Kuching, semalam.

Dalam kejadian 8.15 pagi, mangsa berusia 38 tahun itu ditemui maut selepas lehernya diikat dengan tali dan tergantung pada dahan pokok.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan ada lelaki menggantung diri pada dahan pokok di tepi sungai kampung terbabit.

“Setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa berada dalam keadaan tergantung dengan tali terikat pada dahan kayu sebelum diikat pada lehernya sendiri.

“Pemeriksaan polis di lokasi juga tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan,” katanya ketika dihubungi.

Aidil berkata, mengikut keterangan abang angkatnya, mangsa sudah memeluk agama Islam dan masih bujang serta tidak mempunyai pekerjaan tetap, jatuh cinta dengan seorang wanita kampung itu.

“Namun, percintaan itu tidak direstui ahli keluarga perempuan berkenaan. Sebelum membunuh diri, mangsa ada meninggalkan nota mengatakan dia amat mencintai kekasihnya dan akan pergi ke tempat yang wanita itu tidak dapat pergi serta tidak akan kembali lagi.

“Mangsa juga mengatakan dia nekad bunuh diri agar kekasihnya tidak dapat melihat mukanya.

“Selain itu, mangsa turut menyenaraikan nama orang yang akan menggali kubur dan mengangkat mayatnya,” kata Aidil.

Beliau berkata, pemeriksaan badan dilakukan dan mendapati tiada sebarang kesan luka atau lebam pada badan mangsa.

“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) sementara menunggu kebenaran daripada kedutaan Filipina untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *