RTM kepala bapak dia punya kah? Karim jawab isu liputan media rasmi

Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di DUN Sarawak hari ini.

KUCHING: Apa gunanya liputan program-program kerajaan negeri tanpa menayangkan wajah ketua menteri dan menteri-menteri negeri, kata Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah menekankan kritikannya terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM) susulan penafian daripada penyiar rasmi kerajaan itu.

Beliau berkata ketua menteri dan para menteri Sarawak mengadakan pelbagai sidang media mengenai pelbagai program tetapi RTM gagal memberikan liputan sewajarnya.

“Sidang-sidang media ini bukan untuk ajak orang sokong GPS. Ia mengenai program-program yang sedang diusahakan. Kenapa? RTM kepala bapak dia punya kah?” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

“Setakat ini, saya tak nampak wajah ketua menteri atau mana-mana menteri lain disiarkan. Jika anda boleh tayang wajah Adun Pujut, Ting Tiong Choon setiap hari, kenapa anda tak boleh melakukan perkara yang sama untuk ketua menteri?”

Karim mendakwa RTM mungkin membuat 181 liputan aktiviti melibatkan ketua menteri dan menteri-menteri negeri tetapi tidak melakukannya sebaik mungkin.

“Apa yang saya katakan ini bukanlah tidak berasas. Saya perhatikan mereka. Rakyat Sarawak juga memerhatikan mereka. Kita bukannya bodoh. Kalau program-program itu dihadiri ketua menteri, anda pasti tidak akan nampak wajahnya keesokan hari.

“Apa yang anda cuba tunjukkan? Ini bermakna anda bermain politik. Ia seperti melepaskan batuk di tangga.”

Beliau menjawab penafian RTM terhadap dakwaan media rasmi kerajaan itu tidak memberikan liputan secukupnya ke atas aktiviti kerajaan negeri.

Semalam, RTM dalam kenyataan berkata ia berusaha sebaik mungkin membuat liputan semua aktiviti di negeri itu, dan dalam tempoh 4 bulan pertama tahun ini, ia sudah membuat 181 liputan aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri-menteri negeri dan kerajaan negeri.

“RTM menyiarkan laporan tersebut melalui pelbagai platform. Ini termasuk dalam program berita ehwal semasa di radio, televisyen dan media sosial,” katanya.

Karim berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tidak patut menggunakan RTM sebagai alat politik dan patut belajar menjadi seorang menteri yang terhormat.

“Jangan anggap Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia. Rakyat Sarawak masih menyanyikan lagu Negaraku,” katanya, dan mengingatkan kerajaan Sarawak sekarang dipilih secara sah oleh rakyat negeri itu.

Beliau berkata gaji kakitangan RTM daripada cukai-cukai dikutip dari semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami juga menyumbang kepada gaji-gaji kakitangan itu dan juga gaji menteri yang memimpin RTM jadi janganlah berkelakuan seperti itu,” katanya.

Karim berkata majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean ke-4 yang diadakan pada 25 hingga 27 April tidak diberi liputan siaran langsung oleh RTM.

“Mungkin kerajaan baru fikir hubungan Asean tidak begitu penting atau mereka bermain politik hanya kerana program itu diadakan di Sarawak,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *