Padah halang lalu lintas

ShareTweetShare

Pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pemandu yang meletakkan kenderaan tidak mengikut peraturan. FOTO Ihsan PDRM

TINDAKAN segelintir pemandu kenderaan yang mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan secara ‘double park’ di beberapa pusat tumpuan jualan berbuka puasa membawa padah apabila mereka dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa, semalam.

Operasi Op Halangan yang dilancarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu menyaksikan 63 saman dikeluarkan terhadap kenderaan kerana menghalang lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi bermula 3 petang itu dijalankan di sekitar Jalan Tun Fuad Stephen, Kawasan Teluk Likas, Jalan UMS, Jalan Sulaman, Jalan Sepanggar, Jalan Tuaran dan Jalan Sembulan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati ramai pemandu kenderaan meletakkan kenderaan ‘double parking’ dan ada juga sengaja meletakkan kenderaan secara ‘tripple parking’ sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Berikutan itu, 63 saman dikeluarkan membabitkan 35 daripada BSPT manakala selebihnya dikeluarkan oleh DBKK. Saman dikeluarkan terhadap semua jenis kenderaan termasuk motosikal.

“Polis akan meneruskan operasi ini sepanjang Ramadan dengan mengeluarkan saman dan menyita kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya hari ini.

Habibi berkata, tindakan saman POL 257 dan POL 170 dikeluarkan kerana kesalahan menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas bagi semua jenis kenderaan dengan kadar kompaun RM300.

Beliau berkata, kenderaan yang melakukan kesalahan itu juga boleh disita dan ditahan lima hari mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Habibi menasihati pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama bagi memastikan aliran lalu lintas di kawasan tumpuan bergerak lancar. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *