63 saman polis, 28 saman DBKK terhadap kenderaan ‘double parking’

ANTARA kereta yang disaman pihak polis semasa Op Halangan di sekitar pusat bandar pada Selasa.

KOTA KINABALU: Sejumlah 91 keping saman termasuk 63 dikeluarkan pihak polis manakala 28 yang lain oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terhadap kenderaan yang diletakkan secara ‘double parking’ di lokasi tumpuan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tindakan terbabit dilaksanakan di lokasi tumpuan sekitar pusat bandar iaitu kawasan Bazar Ramandan serta tapak pasar malam.

“Akibat tindakan segelintir pengguna yang mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan secara ‘double’ sehingga ‘triple park’ menyebabkan kesesakan luar biasa di kawasan tumpuan orang ramai sepanjang musim Ramadan.

“Bagi mengelakkan gangguan lalu lintas terbabit pihak polis dengan kerjasama DBKK menjalankan Op Halangan di beberapa lokasi di sini.

“Operasi yang diadakan secara berterusan sepanjang musim Ramadan ini termasuklah Jalan Tun Fuad Stephen, kawasan Taman Teluk Likas, Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sulaman dan Jalan Sepanggar, Jalan Tuaran Lama berhampiran Bulatan Inanam serta Jalan Sembulan,” katanya.

Menurutnya Op Halangan yang dilaksanakan bermula jam 3 hingga 5 petang Selasa berjaya menyaman 63 pengguna jalan yang melakukan kesalahan terbabit manakala DBKK turut mengeluarkan 28 keping saman bagi kesalahan sama.

“Kesalahan yang boleh menyumbang kepada kadar kemalangan serta kesesakan lalu lintas boleh dikompaun sehingga RM300 dan boleh disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi kenderaan yang disita atau ditunda pihak DBKK akibat menghalang laluan lalu lintas boleh disiasat mengikut Seksyen 35(1) Undang-Undang Kecil (Peruntukan Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014.

“Pemilik juga perlu menjelaskan kompuan dan kos tunda yang ditetapkan apabila kenderaan sudah ditunda,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *