Pengunjung rambang mata aneka juadah makanan laut

Sebahagian peniaga yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Asia City di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Aneka juadah berasaskan makanan laut boleh diperoleh di bazar Ramadan Asia City, di sini, sehingga menyebabkan pengunjung rambang mata dan sukar membuat pilihan.

Lebih 100 gerai di bazar itu menawarkan pelbagai menu menarik, termasuk ketam goreng, sate sotong sumbat, ikan bakar, sate udang dan makanan laut panggang, yang mendapat sambutan orang ramai.

Lebih 100 gerai di bazar Ramadan Asia City menawarkan pelbagai menu menarik. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Peniaga, Azna Alip, 27, berkata gerainya menjual ketam goreng pada harga RM10 bagi empat ekor dan ikan bakar, selain memperkenalkan ketam bakau sebagai menu baharu tahun ini.

“Ketam digoreng begitu saja dan dimakan bersama sambal. Ramai pelanggan datang balik untuk membeli lagi selepas merasai ketam goreng ini,” katanya.

Antara juadah yang dijual bazar Ramadan Asia City di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah
Antara juadah berbuka puasa yang dijual bazar Ramadan Asia City di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuahprevnext

Seorang lagi peniaga, Elley Abdullah, berkata pengunjung berpeluang menikmati aneka sate makanan laut yang disediakan di gerainya.

“Mereka boleh mencuba sate sotong sumbat berintikan campuran tomato dan bawang serta sate udang disapu madu yang masing-masing berharga RM7 dan RM10 secucuk,” katanya.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Emily berkata, beliau turut mendapati kebanyakan gerai di bazar Ramadan itu menjual juadah berasaskan makanan laut.

“Saya memang menyukai makanan laut dan bazar ini menawarkan banyak pilihan pada harga berpatutan berbanding jika membeli di restoran,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *