Cerdik Tak Boleh Pakai

ANTARA suspek yang ditahan AADK Daerah Tuaran akibat penyalahgunaan dadah. FOTO ihsan AADK

DUA suspek menggunakan air paip ketika menjalani saringan awal ujian air kencing dalam Ops Cegah dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di tiga lokasi di daerah Tuaran, semalam.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya sia-sia selepas diarah mengambil semula sampel air kencing dalam pemerhatian anggota AADK.

Ketua Pegawai AADK Daerah Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata, operasi bermula 11.30 malam sehingga 1 pagi itu disertai lima anggota menyerbu lokasi di Kampung Tajau Tuaran, Kampung Bontoi Tamparuli dan Taman Wirajaya Tamparuli.

Katanya, serbuan susulan aduan dan maklumat orang awam itu menyaksikan tujuh suspek iaitu lelaki berusia 21 hingga 48 ditahan.

“Ketika saringan dijalankan, dua suspek cuba berdalih selepas menggunakan air paip sebagai sampel air kencing.

“Bagaimanapun, suspek kemudiannya mengaku mengambil dadah selepas sampel kali kedua diambil,” katanya.

Asraf berkata, suspek direman selama 14 hari bermula semalam di Pusat Tahanan Reman AADK Papar.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di daerah Tuaran boleh menghubungi talian 088-788336 atau tampil ke Pejabat AADK berhampiran. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *