Dr Wan Azizah Santuni Penduduk Kampung Sim-Sim

SANDAKAN, 5 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sedang melakukan lawatan sehari ke Sandakan, menyantuni penduduk Kampung Sim-Sim di sini hari ini.

Beliau yang ditemani Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew dan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berada kira-kira sejam melawat dari rumah ke rumah sambil meninjau suasana persekitaran kampung yang terletak di tepi laut itu.

Seorang penduduk kampung Hamidah Osman, 52, berasa amat bertuah apabila pemimpin nombor dua negara itu sudi bertandang ke rumahnya.

Ibu tujuh cahayamata itu berkata walaupun hanya singgah sebentar namun Dr Wan Azizah sempat bertanyakan asal-usul kampung itu diberi nama ‘sim-sim’.

“Mengikut cerita arwah ibu saya, kawasan ini dahulunya adalah pantai dan kalau datang ke sini kena menyinsing kain, dari situlah mendapat nama sehingga menjadi ‘sim-sim’,” kata Hamidah, yang bertugas sebagai guru.

Seorang lagi penduduk kampung, Zamri Othman, 47, berkata kampung itu telah diwartakan atas nama Kampung Melayu Bumiputera Tanjung Papat sejak empat tahun lepas dan kini dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk dua buah sekolah rendah, sekolah agama, masjid serta bekalan air.

“Walaupun di sini ramai penduduk Melayu dan hanya 30 komuniti Cina tetapi perpaduan di sini sangat erat sejak dahulu lagi,” katanya.

Bagi Dr Mohd Afiq Hamidin Zainuddin, 27, anak kelahiran kampung itu, beliau berharap agar golongan belia pada masa kini diberi peluang pekerjaan khususnya di Sandakan.

Beliau yang sedang menjalani latihan di Hospital Duchess of Kent di sini mahu generasi baharu mampu mengubah nasib keluarga masing-masing.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *