Bung Moktar dan Zizie mengaku tidak bersalah

BUNG Moktar dan Zizie hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) empat tahun lalu.

Bung Moktar, 60, yang memakai kot serba hitam membuat pengakuan itu selepas tiga tuduhan terbabit dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

BUNG Moktar dan isteri hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Di Mahkamah Sesyen berasingan, isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, 41, yang juga seorang artis, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat atas kesalahan yang sama.

Zizie membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azira Alwi.

Bagi tuduhan pertama, Bung Moktar didakwa sebagai ejen kepada FELCRA iaitu Pengerusi Bukan Ekskutif FELCRA Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya Zizie Ezette.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung Moktar yang tenang di kandang tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati pada jam 12.30 tengahari, 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa mperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Bung Moktar dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan beliau turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Rozina turut menetapkan sebutan kes pada 10 Jun ini.

Bung Moktar diwakili peguam Datuk R Kumaraendran manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar bertindak bagi pihak pendakwaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *