Guru maut 4WD dihempap lori di Jalan Kota Marudu-Pitas

Gambar Ihsan Pembaca

GURU wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap lori membawa muatan sawit di Jalan Kota Marudu-Pitas berhampiran Dataran Bengkoka, Pitas, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, mangsa, 34, tahun yang berasal Kota Belud, disahkan meninggal dunia serta-merta oleh pasukan perubatan hospital yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 30 tahun bergerak dari Kampung Rukom, Pitas menuju Telupid.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian berlaku di jalan berselekoh menuruni bukit. Pemandu lori berkenaan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbalik dan menghempap kenderaan mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Pemandu lori hanya mengalami cedera ringan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.”

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk tindakan lanjut. – Harian Metro

Gambar Ihsan Pembaca
Gambar Ihsan Pembaca
Gambar Ihsan Pembaca
Gambar Ihsan Pembaca
Gambar Ihsan Pembaca
Gambar Ihsan Pembaca
1869