Pemandu prebet sapu terlampau

Gambar Hiasan

SEORANG wanita menempuh detik cemas apabila dicabul dan hampir dirogol ketika menggunakan khidmat kereta sapu di Jalan Simpang Ladang Kelapa Sawit, Kampung Tagasan, Semporna, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kampung Bubul Lama, pada kira-kira jam 11 pagi.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun menaiki kereta sapu jenis Proton Saga Iswara Aeroback berwarna perak sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan di pertengahan jalan berhampiran simpang masuk ladang kelapa sawit.

Sumber memberitahu, pemandu terbabit dikatakan bertindak mencium mangsa beberapa kali, namun mangsa melawan sehingga menyebabkan dia ditumbuk.

“Mangsa terus melawan apabila suspek bertindak membuka seluar dan cuba merogolnya.

“Selepas hampir 20 minit bergelut, suspek mengalah sebelum meminta maaf kepada mangsa dan menurunkannya di tepi bulatan berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Semporna,” katanya.

Mangsa kemudian menghubungi kakaknya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Semporna, kira-kira jam 2.50 petang hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, suspek mempunyai ciri-ciri seperti berkulit gelap, berambut pendek, mata kemerahan dan berbadan sederhana, serta bertutur dalam loghat tempatan.

“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha sedang giat dijalankan bagi memberkas suspek terbabit,” katanya. – Harian Metro

362