APMM Tawau tahan empat lelaki Indonesia cuba menyusup keluar

APMM Tawau tahan empat lelaki Indonesia cuba menyusup keluar – Foto BES TAWAUMfm

TAWAU, 24 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan empat lelaki termasuk seorang juragan di muara Sungai Merotai dekat sini, selepas disyaki cuba menyusup keluar secara haram ke Indonesia, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Mohd Yusri Hussin berkata kesemua mereka merupakan warga Indonesia berumur antara 22 hingga 28 tahun itu ditahan selepas bot peronda APMM yang menjalankan tugasan Op Pluto Timur di kawasan tanggungjawab terserempak dengan bot berkenaan pada 8.30 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati juragan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua penumpang memiliki i-Kad yang tamat tempoh dan seorang penumpang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata juragan itu ditahan ekoran gagal mengemukakan sebarang dokumen pendaftaran yang sah ke atas bot rekreasi yang dipandu manakala kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri sah dan memasuki perairan Malaysia.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Imigresen 1959/63.

— BERNAMA

231