Ibu muda antara ditahan kes dadah

SEBAHAGIAN daripada 10 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Keningau kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah di Keningau. – Foto ihsan AADK

KENINGAU: Sepuluh individu termasuk ibu muda berusia 19 tahun ditahan dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau di beberapa lokasi di daerah itu, awal pagi tadi.

Wanita yang mempunyai dua orang anak itu ditahan di sebuah kedai menjual telefon bimbit dan saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

IBU muda yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah di Keningau.

Ketika disoal siasat, wanita terbabit mengaku kerap mengambil dadah secara beramai-ramai bersama rakan penagih lain.

Dia juga mengaku dadah syabu yang dibeli hasil kutipan wang daripada rakan penagih.

Ketua Operasi AADK Keningau, Azry [email protected], berkata ibu muda itu antara 10 individu ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah bermula jam 11 malam dan berakhir kira-kira 1 pagi tadi.

“Semua suspek berusia 18 hingga 50 tahun ditahan di lokasi berlainan. Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azry berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan & Pemulihan Dadah 1983 kerana disyaki penagih dadah.

“Orang awam yang mengetahui kes penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Keningau di talian 088-339886 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. – Berita Harian

164