3 lagi lelaki diberkas

POLIS menahan tiga lagi lelaki kerana dipercayai memukul dua individu di pusat beli-belah di Kota Kinabalu, yang tular di media sosial semalam.

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lagi lelaki kerana dipercayai memukul dua individu di pusat beli-belah di sini, yang tular di media sosial semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata dua suspek masing-masing berusia 20 dan 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di tepi jalan Kampung Lok Bunoh, Sepanggar, jam 7.30 malam.

“Pada 16 April lalu, polis menahan dua lelaki dan semalam kita menahan tiga lagi lelaki berikutan kejadian memukul dua lelaki tempatan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Kini polis sedang giat mengesan dan memburu tiga lagi suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang disalurkan hingga tertangkapnya lima suspek setakat ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lengkap mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Shajida Shara di talian 012-8119794 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada 14 April lalu, dua lelaki tempatan dibelasah oleh sekumpulan enam lelaki di tingkat lima sebuah pusat beli-belah dan kejadian itu dirakam sebelum tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *