Persidangan DUN Sabah: Hanya 76 sekolah tawar subjek Sains Komputer

JENIFER Lasimbang.

KOTA KINABALU: Pengambilan guru sementara dari kalangan graduan teknologi maklumat (IT) belum dapat diperluaskan ke Sabah kerana hanya 76 sekolah menawarkan subjek Sains Komputer.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang, berkata setakat ini juga, jumlah guru graduan IT yang sudah ditempatkan adalah seramai 152 orang.

“Setakat ini, hanya 76 sekolah di Sabah menawarkan subjek Sains Komputer, justeru pengambilan guru interim graduan IT belum dapat diperluaskan di negeri ini.

“Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan akan sentiasa menekankan agar penerapan IT dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran di setiap sekolah untuk mendedahkan murid kepada IT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (WARISAN- Pitas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Pendidikan Sabah juga berusaha memberi peluang kepada graduan anak jati negeri ini untuk mengisi jawatan pendidik melalui pelantikan guru sementara sejak 2016, termasuk graduan IT.

“Bagaimanapun, pengambilan guru interim ini tertakluk kepada opsyen yang ditawarkan. Keutamaan diberikan kepada subjek teras yang kritikal, contohnya bahasa Inggeris, Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata antara lembangan sungai di Sabah dikategorikan sensitif adalah Sungai Kinabatangan, Sungai Segaliud dan Sungai Muanad di Sandakan.

“Kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar telah mengenal pasti sungai yang berisiko boleh berlaku pencemaran akibat aktiviti industri, terutama aktiviti kilang kelapa sawit,” katanya.

Kerajaan negeri juga, katanya, menetapkan syarat kawalan had pelepasan efluen kilang kelapa sawit yang ketat di lembangan sungai sensitif, iaitu 20 miligram perliter (mg/L) bagi parameter Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) berbanding had ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu 100 mg/L.

“Selain itu, efluen terawat perlu dilepaskan ke kawasan ladang melalui kaedah pengairan ladang, bukan terus ke sungai. Kawalan ini dilaksanakan sejak 2006 bagi mengelakkan efluen dilepaskan terus ke alur air, seterusnya mengurangkan beban pencemaran ke atas sungai terbabit,” katanya. – Berita Harian

131