Tiada pelancong Eropah, AS batal lawat Sabah

PERSATUAN dan pengusaha pelancong di pantai timur Sabah belum menerima sebarang pembatalan tempahan daripada pelancong Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan kerajaan negara itu menandakan Malaysia sebagai negara ‘K’ atau tidak selamat dikunjungi, khususnya di pantai timur negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Semporna, Kerinu Jalani berkata, berdasarkan maklum balas daripada pelancong termasuk dari negara barat sebelum ini, mereka tidak menghiraukan nasihat yang dikeluarkan negara mereka kerana yakin dengan tahap keselamatan di timur Sabah.

Katanya, jumlah pelancong yang datang khususnya ke Semporna juga semakin meningkat terutama dari China dan beberapa negara dari Eropah.

“Pelancong utama yang datang ke pantai timur adalah dari China dan datang secara berkumpulan. Jika dari AS, mereka biasanya ‘backpacker’ dan lebih gemar dengan aktiviti lain seperti mendaki Gunung Kinabalu, berbanding melawat pulau di pantai timur.

“Berdasarkan pengalaman kami sebagai pengusaha pelancongan, mereka biasanya tidak menghiraukan jika ada nasihat perjalanan daripada negara mereka kerana lebih percaya apabila melihat sendiri keadaan aman di Sabah,” katanya ketika dihubungi di Sandakan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan Duta AS dalam masa terdekat bagi membincangkan penyenaraian Malaysia terutama di pantai timur Sabah sebagai lokasi tidak selamat dikunjungi.

Ia susulan tindakan negara itu menyenaraikan Malaysia sebagai negara dengan tanda ‘K’ iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan yang diumumkan menerusi Nasihat Perjalanan baharu dikeluarkan Jabatan Negara AS minggu lalu.

Sementara itu, pengusaha pelancongan di sini, Johnny Lim berkata, sejak beberapa tahun lalu, pelancong dari AS mula datang ke kawasan pantai timur terutama daerah ini untuk menikmati keindahan alam semula jadi selain tarikan hidupan liar.

Walaupun tindakan kerajaan AS itu belum menunjukkan kesan, katanya, mereka bimbang ia menyekat perkembangan pasaran baharu pelancongan Sabah.

“Ada juga beberapa negara sebelum ini yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada warga mereka, namun tidak menjadi sebesar isu AS tandakan Malaysia dengan indikator ‘K’. Mungkin kerana pelancong dari AS adalah pasaran baharu, kesannya belum lagi boleh dilihat.

“Kita berharap kerajaan akan ambil tindakan susulan termasuk dengan membawa duta dari AS untuk melawat ke timur Sabah untuk memperlihatkan situasi sebenar tidak seperti mereka jangkakan, selain usaha daripada pihak pertahanan untuk memperkukuh kawasan perairan kita,” katanya.

Johnny turut berharap agar pasukan keselamatan tidak terlalu kerap menguar-uarkan mengenai cubaan penceroboh menyeludup masuk ke negeri ini untuk melakukan penculikan kerana dikhuatiri hanya akan meningkatkan kebimbangan orang luar termasuk pelancong untuk berkunjung ke Sabah. – Harian Metro

230