Rancang pindah pelarian Filipina ke pulau

KERAJAAN Sabah mencadangkan pelarian perang dari Filipina di tempatkan di satu pulau penempatan di negeri, atas dasar kemanusiaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pelarian itu ditempatkan di satu pulau yang berdekatan dengan sempadan Filipina, tetapi masih dalam kawalan negeri ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan pengalaman lalu di negeri ini pada 1970-an apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan menempatkan pelarian pelarian perang di kawasan pewartaan PBB.

“Kita kena belajar daripada pengalaman dahulu dan cadangkan penempatan yang jauh dari daratan Sabah sekiranya ada kemasukan (akibat pergolakan) dari negara jiran sama ada Filipina, mahupun Indonesia, tetapi sebahagian besarnya dari Filipina.

“Kita akan tempatkan mereka di satu pulau yang berdekatan dengan sempadan Filipina yang kita kenal pasti dan bukannya di pulau-pulau seperti Pulau Mantanani (Kota Belud) atau (berdekatan) Pulau Sipadan (Semporna).

“Ini semua dilakukan atas dasar kemanusiaan kerana mereka lari untuk menyelamatkan diri dan keluarga, termasuk kanak-kanak serta wanita.

“Konsepnya sama dengan Pulau Bidong (dijadikan penempatan pelarian Vietnam sekitar 1970-an) di Terengganu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Spesies Baharu Kerapu Echo di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Spesis Baharu Ikan Echo Grouper di Bangunan DUN Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri berkata, cadangan itu masih dalam penelitian kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Bayu Aquaculture Sdn Bhd yang memperkenalkan spesies baharu ikan kerapu dikenali sebagai kerapu echo menerusi kaedah hibridisasi.

“Usaha itu dapat membantu meningkatkan sektor perikanan di negeri ini,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *