12 warga Filipina, dalang seludup manusia dicekup

Warga Filipina yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk ke Sabah menerusi perairan Tanjung Aru, di Sandakan. – Ihsan PPM

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 12 warga Filipina termasuk juragan bot yang dipercayai menjadi dalang membawa masuk secara haram migran menerusi perairan Tanjung Aru, di sini.

Semua suspek ditahan oleh sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan di perairan itu pada jam 11.45 malam, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata anggota PPM mengesan dan berjaya memintas bot laju digunakan suspek yang datang dari arah Pulau Taganak.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 19 tahun yang juga juragan bot menjadi dalang bagi aktiviti penyeludupan migran itu.

“Pemeriksaan mendapati juragan terbabit membawa lima lelaki dan enam wanita dewasa berusia antara 18 hingga 47 tahun.

“Turut dirampas adalah sebuah bot dan dua unit enjin 40 kuasa kuda. Siasatan turut mendapati semua penumpang mengaku membayar sejumlah wang kepada juragan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010). – Berita Harian

Warga Filipina yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk ke Sabah menerusi perairan Tanjung Aru, di Sandakan. – Ihsan PPM
Warga Filipina yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk ke Sabah menerusi perairan Tanjung Aru, di Sandakan. – Ihsan PPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *