Musa Aman Hadir Sidang DUN Buat Pertama Kali

Musa Aman Hadir Sidang DUN Buat Pertama Kali, hari ini.

MUSA AKHIRNYA HADIR, MENJADI PEMBANGKANG TUNGGAL UMNO

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini mencuri tumpuan selepas buat pertama kali bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menghadiri mesyuarat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu merupakan satu-satunya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang tinggal selepas rakan seperjuangannya sebelum ini kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hadir sebagai pembangkang, semua pihak kini tertunggu-tunggu beliau membuat penampilan sulung sama ada untuk mencelah atau berbahas kerana pengalamannya selama tiga penggal memimpin Sabah pasti amat berguna.

Ironinya, tempat duduk Musa betul-betul berdepan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang merupakan seteru politik beliau yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketibaan Musa pada pukul 9.50 pagi ini juga bermakna beliau akan meneruskan tugasnya sebagai ADUN, menafikan desas-desus bahawa kerusi berkenaan akan dikosongkan.

Ini berikutan beliau sebelum ini gagal menghadiri dua sesi sidang DUN pada tahun lalu selain menjadi ADUN terakhir yang mengangkat sumpah iaitu pada 5 September 2018.

Menurut Artikel 18(2) Perlembagaan Sabah, DUN boleh mengisytiharkan mana-mana kerusi kosong sekiranya wakil rakyat yang dipilih gagal hadir untuk tiga sesi berturut-turut tanpa alasan kukuh. – BorneoToday


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *