Kena denda, penjara miliki cicak tokek

WARGA Indonesia dihukum penjara lapan bulan dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Tawau kerana memiliki empat ekor cicak tokek. FOTO Abdul Rahemang Taiming

SEORANG Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dihukum penjara lapan bulan dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Tawau di sini, hari ini, kerana memiliki empat ekor cicak tokek.

Tertuduh, Arip Samsudin, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki empat ekor cicak tokek (Gekko Gecko), di Grace Inn Hotel, Bandar Fajar, di sini, pada jam 11 pagi, 22 Februari lalu.

Haiwan berkenaan dikategorikan sebagai spesies dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 2, Nombor 73A, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan menjadi kesalahan memilikinya tanpa permit sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(4)(b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda dan ia dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya juga memerintahkan tertuduh yang memasuki negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah diusir ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), Abdul Karim Dakog, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *