Malaysia terima satu lagi syarikat penerbangan tambang rendah

MALAYSIA bakal mempunyai sebuah lagi syarikat penerbangan tambang rendah baharu menerusi penubuhan Citilink Malaysia Aviation Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mempunyai sebuah lagi syarikat penerbangan tambang rendah baharu menerusi penubuhan Citilink Malaysia Aviation Sdn Bhd.

Syarikat penerbangan itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh antara satu hingga dua tahun ini selepas mendapat Sijil Pengendali Udara (AOC) dari Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Buat masa ini, syarikat itu akan beroperasi menggunakan AOC milik Citilink Indonesia dan bakal menawarkan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja pada suku kedua ini.

Penubuhan syarikat penerbangan itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SMTrack Bhd dengan Dexma Express Sdn Bhd di sini.

Menerusi MoU itu, SMTrack akan mengambilalih 60 peratus pegangan di dalam Dexma membabitkan transaksi bernilai RM2.8 juta.

Selepas proses pengambilalihan itu dimuktamadkan, Dexma akan ditukarkan nama kepada Citilink Aviation Malaysia serta mendapatkan AOC dan lesen dan permit berkaitan lain bagi membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi.

Dexma ketika ini adalah ejen jualan am (GSA) yang dilantik oleh Citilink Indonesia bagi mewakili syarikat penerbangan tambang murah dari Indonesia itu untuk menguruskan operasinya membabitkan perkhidmatan kargo dan penumpang di Malaysia.

Pada majlis itu, SMTrack diwakili oleh wakilnya, Jay Hoo Wing Wah manakala Dexma oleh Timbalan Ketua GSA Malaysia Dexma, Alvin Heng.

Sementara itu Heng berkata, pihaknya yakin perkhidmatan ditawarkan syarikat penerbangan baharu itu mampu menyaingi pesaingnya yang lain, malah menawarkan perkhidmatan lebih baik.

Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan utama kepada perkhidmatan ditawarkan dengan memastikan harga jualan kekal kompetitif.

“Antaranya pelanggan akan menikmati tawaran bagasi 10 kilogram dan hidangan percuma dalam penerbangan.

“Buat masa ini, kami beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Selain Phnom Penh, kami juga merancang untuk menawarkan laluan baharu ke China pada masa akan datang. Tumpuan kami ialah lebih kepada laluan antarabangsa dan tidak akan memasuki laluan domestik,” katanya.

SMTrack ialah penyedia teknologi pengesan disenaraikan di Pasaran ACE pada 2011. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *