Ijazah PhD kehormat: KDN siasat individu

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat individu yang menyalahgunakan pangkat dalam agensi penguat kuasa untuk tujuan peribadi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang menyalah guna lantikan atau jawatan yang diberikan, terutama apabila digunakan untuk tujuan menyeleweng.

Beliau berkata, kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit kerana menjatuhkan integriti penguat kuasa sekali gus memberi imej buruk kepada kerajaan.

“Saya akan periksa dengan KDN dan RELA untuk mengetahui hal itu. Tetapi pandangan peribadi saya, jika ia benar-benar dilakukan oleh si penipu, maka kita harus mengambil tindakan.

“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang wajar diambil terhadap individu atau lelaki yang dimaksudkan, sekiranya terbukti wujud unsur penipuan atau manipulasi menggunakan nama mana-mana agensi atau jabatan kerajaan untuk kepentingan peribadi.

“Satu siasatan yang telus wajar dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan terhadap individu terbabit. Sekiranya terbukti, maka pihak KDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya demi menjaga nama baik agensi yang bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan BH pada 31 Mac lalu berikutan seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai pengasas dan presiden organisasi ijazah kehormat di negara ini, serta mengendalikan sebuah universiti antarabangsa menawarkan doktor falsafah (PhD) kehormat disahkan Ahli Bersekutu RELA.

Lelaki yang mengaku anggota RELA berpangkat mejar mempunyai pakaian seragam agensi itu menawarkan PhD kehormat pada harga RM8,000.

Hasil semakan mendapati lelaki itu dilantik sebagai Ahli Bersekutu RELA sejak Oktober 2016.

Sumber memberitahu, lelaki itu bukan anggota mahupun pegawai tetap RELA, sebaliknya dilantik sebagai Ahli Bersekutu yang dibuat atas kapasiti korporat.

Menurut sumber, RELA tidak lagi menggunakan pangkat mejar seperti digunakan Angkatan Tentera

Malaysia (ATM).

Baru-baru ini, wartawan BH turut dipanggil oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan di Putrajaya untuk memberi keterangan dan berkongsi maklumat yang diperolehi.

Pegawai yang ditemui berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *