RM1.19 juta untuk pembinaan kemudahan awam baru di Tuaran

Sebahagian agensi melawat tapak projek sempena Perasmian Projek Landskap Pekan Tuaran Fasa 2 di Tuaran. – NSTP/Recqueal Raimi

TUARAN: Kerajaan negeri membelanjakan RM1.19 juta untuk kos pembinaan kemudahan awam baharu di daerah ini menerusi Projek Landskap Pekan Tuaran Fasa 2.

Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, Masnah Matsalleh, berkata ia antara usaha menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan kawasan luar bandar menjadi lebih ceria.

“Walaupun kawasan luar bandar, kita tidak mahu ia ketinggalan dari arus pemodenan, malah kawasan yang ramai pengunjung perlu kelihatan lebih indah dan ceria di mata pengunjung atau penduduk.

“Paling diutamakan, kita sudah menaik taraf mercu tanda yang menjadi kebanggaan warga daerah ini iaitu Menara Jam yang sudah berusia 52 tahun supaya kelihatan lebih menarik,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Projek Landskap Pekan Tuaran Fasa 2 di bilik mesyuarat 1, Majlis Daerah Tuaran (MDT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair.

Masnah berkata, pelaksanaan projek itu dilakukan secara berperingkat di setiap daerah melalui permohonan kerajaan negeri.

“Kita faham projek ini membabitkan jumlah kos yang tinggi, jadi ia dilakukan secara berperingkat dari daerah ke daerah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah (Landskap) Jabatan Perancang dan Wilayah Sabah, Nurulhayati Awang More berkata, kerja menaik taraf dan membina kemudahan baharu itu dijalankan bermula 15 Mac hingga 15 November tahun lalu.

“Projek itu membabitkan kawasan pekan Tuaran sepanjang 166 meter bermula Menara jam menghala Jalan Tuaran Lama dan Jalan Tanjung Labuaya Serusup yang juga membabitkan keluasan 0.47 hektar.

“Selain menaik taraf Menara Jam, kita membina tembok susun atur tempat letak kenderaan baharu, membina laluan dan bumbung pejalan kaki serta menyediakan kerusi panjang jenis besi, tong sampah, pokok teduh dan tanaman bunga sebagai hiasan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *