Jenazah mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf tiba di Sandakan

Jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat di tembak di Filipina selepas diculik kumpulan Abu Sayyaf, Jari Abdullah tiba di Lapangan Terbang Sandakan pada jam 7.50 pagi. – Foto Poliana Ronie Sidom

SANDAKAN: Jenazah rakyat Malaysia, Jari Abdullah yang terbunuh di Filipina selepas menjadi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf, tiba di Lapangan Terbang Sandakan, di sini, jam 7.50 pagi tadi.

Mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di bandar Zamboanga, Selatan Filipina, tengah hari Selasa lalu.

Jari menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Zuana Laudianto, 54, jam 1.30 tengah hari.

Difahamkan, Jari parah selepas terkena tembakan di kepala dan dada ketika menyelamatkan diri daripada menjadi tebusan kumpulan Abu Sayyaf, pada 4 April lalu, di Pulau Simusa, Sulu.

Mangsa kemudiannya ditemui pasukan keselamatan Filipina sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut sejak lima hari lalu.

Dua rakannya, warga Indonesia yang turut diculik berjaya ditemui pasukan keselamatan.

Bagaimanapun Hariadin, 45, dilaporkan lemas manakala Heri Ardiansyah, 19, selamat.

Terdahulu, pada 6 Disember lalu, mereka bertiga yang sedang memukat ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, diculik kumpulan Abu Sayyaf. – Berita Harian

176