Bekas pembantu menteri nafi ditangkap kerana laku jenayah rentas sempadan

Ramlee dan kumpulannya selepas ditahan oleh pasukan ATB2 semalam.

KOTA KINABALU: Bekas pembantu menteri Ramlee Marhaban menafikan beliau dan rakan-rakannya ditangkap pihak berkuasa kerana cuba menyeludup masuk ke perairan Malaysia, dekat Pulau Mataking di Semporna, semalam.

Bercakap kepada FMT hari ini, Ramlee berkata, beliau dengan rakan-rakannya pergi ke pulau itu kerana memantau kerja yang dijalankan di tanah miliknya itu.

“Ia perjalanan rutin. Saya telah maklumkan kepada Esscom mengenainya, tapi saya ingat mungkin Pasukan Petugas Bersama (ATB2) tidak diberitahu perkara itu,” katanya.

Semalam, polis Semporna berkata, berita mengenai tangkapan Ramlee adalah palsu memandangkan pihak berkuasa tidak mempunyai kes, walaupun menemui senjata dalam bot pelancong yang dinaiki Ramlee bersama kumpulannya.ADVERTISING

Mereka dibebaskan tanpa dikenakan sebarang pertuduhan.

Bagaimanapun, beberapa media melaporkan mereka ditangkap.

Ramlee kesal dengan khabar angin itu memandangkan ia sebenarnya hanya salah faham disebabkan masalah komunikasi dalam kalangan pihak berkuasa keselamatan.

“Kadang kala saya pergi tangkap ikan. Saya ada lesen bawa senjata dan saya mengaku ada senjata dalam bot, tetapi tidak bawa lesen kerana tidak mahu ia rosak.

“Kami bawa senjata untuk pertahankan diri kerana sedar mengenai kemungkinan bahaya apabila ke kawasan tersebut,” katanya.

Pulau Mataking terletak di sempadan Malaysia-Filipina.

Ramlee berterima kasih kepada polis Semporna atas kerjasama mereka dalam perkara tersebut.

Awal semalam, Zarondin Md Amin dari ATB2 mengesan sebuah bot yang membawa Ramlee dan 4 orang lain datang dari perairan Sitingkai, dekat selatan Filipina.

Katanya, sebuah pasukan digerakkan serta-merta untuk memeriksa boat itu dan mereka yang berada di dalamnya didapati tidak memiliki dokumen pengenalan.

Turut ditemui adalah sepucuk pistol dengan 18 butir peluru .9mm dan senapang patah dengan 33 butir peluru.

Kumpulan itu disyaki merancang untuk melakukan jenayah menyeberangi sempadan, termasuk penculikan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *